Saya sentiasa teringin untuk menjelajah seluruh ASEAN. Kewujudan penerbangan tambang murah AirAsia telah memberi peluang kepada semua golongan terutama golongan yang berpendapatan rendah untuk turut sama merasai pengalaman terbang di awan biru sejajar dengan ungkapannya 'Kini sesiapapun boleh terbang'.Baru-baru ini AirAsia telah membuka laluan baru dari Kuala Lumpur ke Myanmar dan ini telah melengkapkan penerbangan AirAsia ke seluruh ASEAN.
Oleh kerana Myanmar adalah negara di rantau ini yang agak kurang mendapat publisiti dari segi pelancongan samada di media massa mahupun media elektronik, jadi amat kurang maklumat yang diketahui mengenai negara ini. Namun begitu, peraduan 'Blog Your Way to Yangon' yang diumumkan oleh AirAsia baru-baru ini telah membuka mata saya untuk membuat carian di internet mengenai rahsia yang dimiliki oleh tanah ini yang secara tidak langsung mendekatkan hati saya untuk menjelajah ke bumi yang penuh misteri ini.Seandainya saya berpeluang untuk ke Myanmar, beberapa perkara utama yang akan saya lakukan adalah:
1. Melawat ke wat/pagoda
Oleh kerana Buddha merupakan agama utama di Myanmar, maka boleh dikatakan kesemua bandar di negara itu mempunyai wat/pagoda yang tersendiri. Ini merupakan tarikan utama sekiranya seseorang itu ke Myanmar kerana senibina dan ukiran yang terdapat di wat itu serta pagoda yang berkilau keemasan amat unik dan menarik untuk dilihat. Saya pastinya tidak mahu ketinggalan menyaksikannya.
2. Mencuba makanan tempatan
Ke mana sahaja seseorang itu pergi, peluang untuk mencuba makanan tempatan seperti Mohinga dan Onnokauswe adalah sesuatu yang tidak harus dilepaskan. Saya pasti Myanmar mempunyai menu-menu lain yang istimewa dan sedap untuk dikongsi bersama dengan masyarakat di luar sana.
3. Menikmati keindahan Tasik Inle
Tasik ini merupakan nadi kepada puak Intha yang mendiami sekitar tasik ini. Keindahan panorama di sekitar tasik ini tidak harus dilepaskan sekiranya datang ke Myanmar. Pengalaman memgelilingi tasik ini dengan bot atau sampan pastinya meninggalkan memori indah buat saya sekiranya berpeluang ke sana.
4. Membeli hasil dan kraftangan tempatan
Tekstil dan permata merupakan antara barangan yang boleh dibeli sebagai cenderahati untuk dibawa pulang. Permata seperti jade dan nilam yang berkualiti boleh diperolehi di sana dengan harga yang murah. Begitu juga tekstil seperti sutera juga boleh dibeli di kedai yang menawarkan harga yang berpatutan.
5. Menerokai sejarah silam
Sesuatu yang indah untuk diterokai dan diketahui ketika di sini adalah mengenai sejarah Myanmar itu sendiri. Bermula dengan empayar di Bagan sehinggalah kepada pendudukan British dan Jepun, Myanmar menjanjikan maklumat yang berguna berkenaan sejarah asal negara ini. Selain itu, peluang untuk melawat empayar di Bagan yang terkenal dengan bilangan pagoda yang banyak tidak harus saya lepaskan sekiranya berpeluang ke Myanmar.
6. Mempelajari budaya dan adat tempatan
Keunikan dan keindahan budaya dan adat sesuatu bangsa itu tidak dapat disangkal termasuk juga Myanmar. Negara ini kaya dengan tarian tradisi seperti tarian Marionette dan Apyodaw serta muzik yang lemah gemalai. Selain itu, kepelbagaian alat muzik serta kostum masyarakat di Myanmar juga merupakan sesuatu yang amat menarik untuk dipelajari.
7. Bermesra dengan masyarakat setempat
Pastinya, peluang untuk mengenali masyarakak setempat merupakan perkara yang indah sekiranya saya dapat berinteraksi dan mendalami perasaan mahupun cerita di sebalik negara yang penuh misteri ini.Kunjungan saya ke Myanmar tentunya lebih bermakna sekiranya saya dapat turut sama merasai pengalaman hidup sebagai masyarakat tempatan yang berusaha keras untuk menjalani hidup seharian.
Saya berharap agar saya berpeluang untuk menjelajahi negara ini bersama AirAsia. Sesungguhnya, pengalaman yang diperolehi dengan melancong ke nagara ini menjanjikan sesuatu yang amat bermakna buat diri saya kerana saya dapat merasai sendiri semua perkara yang saya ceritakan di atas. Hanya AirAsia yang dapat menjadikan impian saya satu kenyataan kerana 'AirAsia, Simply The Best'.
Saturday, July 24, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)